IPOH : Sebuah kedai emas di Menglembu, Ipoh, Perak mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas disamun dua lelaki pada Selasa petang.

Suspek melarikan barang kemas daripada kedai tersebut dalam masa kira-kira dua minit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira 3.10 petang itu, kedua-dua suspek bertopi keledar dan berpakaian biru gelap.

“Mereka terus menyerbu masuk dan memecahkan peti pameran dan melarikan dua dulang barang kemas yang dianggarkan lebih kurang RM 10,000,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat empat orang termasuk seorang kanak kanak di dalam kedai tersebut tetapi mereka  tidak dicederakan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau pegawai penyiasat di talian di 010- 8280025.

Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.