IPOH: Puluhan kedai judi yang sebelum ini bermaharajalela di seluruh Ipoh seolah-olah kebal daripada undang-undang, akhirnya dikatakan telah berhenti beroperasi.

Tinjauan Suara Perak di beberapa premis pusat perjudian yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga sekitar Ipoh mendapati kesemuanya telah “gulung tikar” sejak pagi Rabu.

Menurut seorang pengawal bangunan berdekatan sebuah pusat perjudian di Bercham, R.Muthu, difahamkan kedai-kedai haram itu telah menghentikan operasinya kerana tamat tempoh lesen perniagaan yang sebelum ini disalahguna.

“Hari ini saya dengar banyak kedai tutup sebab lesen-lesen perniagaan mereka telah tamat tempoh dan katanya lesen-lesen itu tidak akan dikeluarkan lagi.

“Sebelum ini mereka guna lesen itu untuk buka kedai-kedai judi dan polis pun katanya tak boleh buat apa, tapi sekarang lesen sudah tak ada mereka takutlah dengan polis, polis juga sedang buat operasi sekarang,” katanya ketika ditemui Suara Perak pada Rabu malam.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Cheang Keong berkata, polis tidak dapat mengambil tindakan kerana kebanyakkan mesin judi yang didakwa beroperasi di pusat hiburan keluarga mempunyai lesen.