SUNGAI PETANI: Berselindung di sebalik jualan makanan ringan, kegiatan penjualan tambah nilai judi dalam talian di sebuah kedai terbongkar apabila premis yang terletak di Tikam Batu, di sini diserbu malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata berikutan itu seorang pelajar berusia 15 tahun yang berkerja sebagai penjaga kaunter serta ditugaskan menjual tambah nilai judi dalam talian ditahan pihaknya.

Katanya, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit bersama wang tunai berjumlah RM150 di premis berkenaan.

“Serbuan kira-kira jam 10 malam itu bertindak atas aduan awam. Kita mendapati sindiket ini mula mensasarkan kawasan terpencil di daerah ini seperti Tikam Batu dan Kota Kuala Muda untuk menjalankan aktiviti jualan tambah nilai judi dalam talian,” katanya ketika ditemui, di sini.

Adzli berkata, sindiket itu juga dipercayai menggunakan pelajar sekolah sebagai modus operandi baharu mereka bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Ia berdasarkan tiga tangkapan pelajar sekolah daripada lapan yang ditahan dalam Ops Dadu Khas yang dijalankan sejak Jumaat lalu hingga hari ini (semalam) di Tikam Batu dan Kota Kuala Muda,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Tindakan pemotongan bekalan elektrik selama 30 hari juga akan dilakukan ke atas kedai berkenaan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam kegiatan judi dalam talian atau jenayah lain – Berita harian