IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menafikan berita yang tular di media sosial mengaitkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai masih mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Di-Hilir di sini.

Beliau turut menafikan bahawa Dr Zambry enggan keluar daripada kediaman tersebut.

Ahmad Faizal berkata proses mengosongkan kediaman rasmi dilakukan Dr Zambry mengikut peruntukan undang-undang dan berjalan dalam keadaan lancar.

Ianya tidak seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial, katanya.

“Saya masih tidak dapat berpindah ke kediaman rasmi kerana ada beberapa perkara yang perlu dilakukan di rumah tersebut, bukannya pengubahsuaian besar cuma terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada sistem paip di rumah itu.

“Apa yang tular itu tidak tepat, saya tidak berapa pasti apa kandungan berita itu yang pasti kita adalah negara demokrasi tetapi tidaklah seperti di Barat, kita tidak begitu menekan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program menerima sumbangan RM3.5 juta untuk Tabung Harapan Malaysia daripada syarikat dan individu persendirian di Pejabat Menteri Besar di sini,hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai pentadbiran di negeri lain namun tiada sebarang unsur paksaan yang diamalkan kerajaan Pakatan Perak.

“Peralihan kuasa berjalan dengan begitu baik,saya tidak ada masalah dan saya harap perkara ini tidak dipanjangkan kerana ianya tidak sihat untuk pembinaan negara,”ujarnya lagi.

Semalam, Timbalan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad mengesahkan Dr Zambry telah mengosongkan kediaman rasmi dalam tempoh 10 hari, yang mana lebih awal daripada tempoh tiga bulan yang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian.