JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat bagi mencari mangsa kapal penumpang yang karam yang dipercayai membawa lebih 100 penumpang di perairan Danau Toba, Sumatera Utara sejak Isnin lepas.

Menurut laporan, setakat ini empat mayat wanita ditemui lemas, manakala 19 penumpang telah ditemui selamat.

Berdasarkan laporan media Indonesia, terdapat pelbagai versi berhubung jumlah penumpang yang hilang akibat kejadian itu yang dipercayai berkemungkinan melebihi 100 orang.

Menurut jurucakap polis Daerah Sumatera Utara yang dipetik agensi berita Antara, berdasarkan keterangan dan maklumat daripada aduan keluarga mangsa, kapal kayu KM Sinar Bangun itu berkemungkinan membawa 189 penumpang.

“Belum terdapat data lengkap berhubung jumlah mangsa yang hilang, ” kata jurucakap itu.

Kapal kayu KM Sinar Bangun itu dilaporkan karam di perairan Danau Toba kira kira 5.30 petang Isnin lepas akibat cuaca buruk.

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata pihak kedutaan masih berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan mangsa terbabit dan memantau operasi dan menyelamat yang dilakukan pihak berkuasa Indonesia.

“Kedutaan memantau rapi operasi itu sekiranya ia turut membabitkan rakyat Malaysia,” kata jurucakap itu. – BERNAMA