Oleh:Nazialita Geynna Maharan

GERIK: Kegembiraan empat sahabat untuk memancing ikan bertukar menjadi tragedi apabila seorang daripada mereka meninggal dunia selepas dikatakan tergelincir ketika menuruni bukit di Air Kulim, Kenayat, di sini pada petang Isnin.

Dalam kejadian tersebut, mangsa, Mohd Nazri Mazlam, 31, dipercayai telah pergi ke sungai berhampiran hutan sekitar jam 4 petang bersama tiga rakannya untuk memancing.

8e9a825e-cc5d-433d-b579-2f510ba734d4

Timbalan Ketua Polis Gerik, DSP Mohd Sohaimi Ishak berkata, mereka cuba menuruni bukit yang terletak kiraikra tiga kilometer dari sungai sebelum mangsa tergelincir dan terkena sawan sehingga menyebabkannya tidak boleh bernafas.

“Rakan mangsa kemudiannya bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan daripada keluarga dan ketua kampung, dan masuk ke dalam hutan itu semula sekitar pukul 7 malam bersama pasukan bantuan.

191e68ba-0e88-425e-9061-8f49e23b072d

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Selasa.

Menurutnya, mangsa yang difahamkan mempunyai penyakit sawan merupakan seorang penoreh getah Felda Papulut, Gerik.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gerik dan hasil bedah siasat mendapati kematiannya disebabkan kecederaan parah di bahagian kepala dipercayai terkena objek keras semasa terjatuh,” katanya lagi.

Sohaimi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.