MUALLIM: Kegembiraan lapan sekawan beriadah dan mandi-manda di Sungai Bil, Slim Village dekat sini berakhir dengan tragedi apabila salah daripada mereka lemas akibat tergelincir di sungai tersebut pada Selasa.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai Mohd Hafizudin Amir Yusri, 18, gagal diselamatkan oleh rakan-rakannya yang cuba menarik tangan mangsa ketika kejadian itu berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Supt. Sulizmie Affendy Sulaiman, kesemua mereka datang ke kawasan itu dan mandi di kawasan berdekatan Stesen Mini Hidro TNB Sungai Bil.

“Lebih kurang jam 12 tengahari, lapan orang lelaki itu menaiki enam buah motosikal dari Felda Gunung Besout 2 untuk mandi-manda.

“Lebih kurang setengah jam selepas itu mereka telah mandi di kawasan berdekatan Stesen Mini Hidro TNB Sg Bil dan berhenti makan.

“Kira-kira jam 1 petang mereka mandi semula di kawasan yang sama dan semasa sedang mandi mangsa didapati pergi kawasan yang dalam dan tergelincir. Salah seorang rakan cuba menarik tangannya tetapi mangsa gagal diselamatkan dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, rakan mangsa kemudiannya menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Mangsa kemudian berjaya dibawa keluar dari kawasan itu oleh pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim kira-kira jam 2 petang dan mayat dibawa ke Hospital Slim River untuk dibedah siasat.