KUALA LUMPUR: Kegiatan haram menjual daging hidupan liar seperti monyet, napuh, babi hutan dan ular sawa sejuk beku kepada peniaga restoran makanan eksotik tempatan dikesan masih terus berleluasa.

Itu antara kegiatan `pasaran gelap’ dikesan giat dilakukan kumpulan pemburu haram bagi mendapatkan keuntungan mudah terutama ketika musim perayaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, ketika dihubungi semalam berkata kegiatan itu sukar dibanteras berikutan masih terdapat penggemar makanan eksotik daging hidupan liar dilindungi di negara ini.

“Golongan ini sanggup membayar harga tinggi hingga ribuan ringgit bagi menikmati hidangan yang dianggap istimewa atau sukar diperoleh ini.

“Kebiasaannya, hanya pelanggan tetap saja ditawarkan hidangan istimewa ini, malah besar kemungkinan permintaan terhadap hidangan eksotik ini bertambah sempena musim perayaan,” katanya.

Terbaru, katanya, seorang lelaki berusia 60-an ditahan sepasukan lima pegawai penguatkuasa PERHILITAN Daerah Johor Bahru kerana menyimpan pelbagai daging beku hidupan liar di premisnya Ahad lalu.

“Serbuan jam 7 pagi itu dilakukan terhadap premis milik lelaki terbabit di Bukit Senang, Senai, Johor, susulan intipan yang dilakukan.

“Hasil pemeriksaan, pihak PERHILITAN menemui dua ekor babi hutan yang disiap dilapah, lima kilogram (kg) daging ular sawa dan lapan ekor kura-kura.

“Selain itu, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux milik suspek yang disyaki digunakan untuk membawa semua daging itu turut dirampas,” katanya.

Kadir berkata, suspek tidak mempunyai dokumen sah daripada pihak PERHILITAN bagi menyimpan semua organ hidupan liar itu.

“Semua daging hidupan liar yang dirampas ini dipercayai mahu dibekalkan kepada peniaga makanan eksotik tempatan. Susulan itu, semua daging terbabit dibawa ke Pejabat PERHILITAN Johor Bahru,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi jam 6.30 pagi semalam, Unit Penguatkuasaan PERHILITAN Negeri Sembilan turut menahan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Jalan Jeram Talang, Tanjung Ipoh Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Hasil pemeriksaan menemui dua ekor napuh dan satu kepala napuh dalam satu bungkusan plastik diletakkan dalam raga motosikal manakala suspek yang berusia 30-an tidak mempunyai dokumen pemilikan hidupan liar yang sah,” katanya.

Terdahulu, pihak PERHILITAN turut membuat pemeriksaan di sebuah premis kediaman di Jalan Tampin Dioh, Kuala Pilah di Negeri Sembilan pada 5 Februari lalu, di mana hasil pemeriksaan menemui seekor lotong, dua kera dan dua bungkusan disyaki berisi daging babi hutan yang sudah dibekukan.

Kadir berkata, kesemua hidupan liar itu disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 710).

“Jika bersabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

“PERHILITAN sentiasa komited menangani isu pemburuan haram dan menggesa orang ramai memberi sokongan dan membantu dengan menjadi mata serta telinga PERHILITAN bagi menyalurkan maklumat dalam usaha melindungi khazanah negara daripada diancam kepupusan,” katanya.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada hotline PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan menerusi laman sesawang jabatan iaitu www.wildlife.gov.my Рberita harian