MANONG: Penduduk di Kampung Pulai dan Kampung Ara Panjang, di sini, gempar apabila mengesan terdapat aktiviti dipercayai pemujaan berbentuk khurafat di kampung itu, baru-baru ini.

Penduduk, Amirul Japeran Shah, 45, berkata aktiviti itu terbongkar apabila ‘kumpulan’ berkenaan memindahkan batu nisan berusia ratusan tahun ke tanah perkuburan di Jalan Tanah Wakaf.

Menurutnya, aktiviti sebegitu sudah berlanjutan sejak lebih setahun lepas namun kumpulan tersebut bijak menanipulasi keadaan sehingga membuatkan penduduk kampung terpedaya dengan helah mereka.

“Rasanya mereka dah biasa buat perkara ini di tempat lain kerana cara mereka sangat halus. Bila penduduk kampung tanya, mereka tunjukkan kad dan kata mereka keturunan kerabat diraja.

“Bila mereka tunjuk kad, penduduk kampung diam sajalah sebab ingatkan betul. Mereka biasa datang dalam pukul 1.00 ke 2.00 pagi waktu penduduk kampung memang tiada di kawasan itu.

“Semuanya terbongkar bila mereka pindahkan batu nisan dari lokasi lain ke lokasi baru. Ada penduduk nampak, terus dia laporkan kepada ketua kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulai, di sini pada petang Rabu.

Tambahnya, penduduk curiga bila melihat batu nisan itu dibalut dengan beberapa kain berwarna kuning serta putih dan jika mengikut logiknya, memang itu adalah perbuatan khurafat.

“Malah ada penduduk yang bekerja di ladang berhampiran kubur itu mengatakan melihat mereka mengelilingi kawasan kubur beberapa kali seakan upacara pemujaan.

“Menurut mereka, kumpulan itu ada lapan orang. Empat lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak. Kami tidak tahu mereka lakukan upacara apa tapi kami sudah pulangkan semula batu nisan ke tempat asal.

“Saya tanya mereka kenapa pindahkan batu nisan. Katanya, mereka terima ‘wahyu’ untuk pindahkan kerana kawasan lama panas, kawasan baru sejuk. Sampai macam itu sekali pemikiran mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Pulai, Saleh Abd Wahab memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis dan merujuk pihak berkaitan dalam usaha menyelesaikan masalah itu.

Menurutnya, dia berang apabila kumpulan tersebut mempergunakan namanya bagi meyakinkan penduduk kampung bahawa perbuatan mereka betul dan sudah mendapat kebenaran ketua kampung.

“Ada mereka ambil gambar semasa dia bincang dengan kami. Selepas itu bila orang kampung tanya, mereka tunjuk gambar itu dan katakan ketua kampung pun tidak melarang jadi kenapa orang kampung nak marah.

“Bila dia kata begitu, orang kampung marah pada saya, kata saya tak buat kerja, biarkan perkara khurafat sebegitu dalam kampung. Takkan lah saya nak biar saja perkara macam ini berlaku.

“Atas nasihat ramai, saya buat laporan polis. Bila terbongkar, orang kampung marah dan mahu bersemuka dengan kumpulan itu tetapi saya larang kerana bimbang perkara lain pula jadi nanti,” katanya.

Menurut Saleh, kubur yang ‘dipuja’ kumpulan berkenaan dikatakan milik Toh Rubiah Pulih, seorang wanita keturunan diraja yang ratusan tahun dulu pernah bermastautin di kampung itu.

“Memang sudah lama kubur itu di sana dan kita tahu itu adalah kubur kerabat diraja. Di bawah kawasan ini ada sungai, memang meriah kawasan ini dulu tapi sekarang sudah terbiar.

“Kami tak tahu macam mana kumpulan ini boleh jumpa kubur itu tetapi apa yang kami tahu, mereka marah bila kegiatan mereka terbongkar malah ada mengugut penduduk kampung juga.

“Kami menyerahkan semuanya kepada polis, biarlah mereka siasat. Kami cuma akan memantau bagi memastikan kumpulan ini tidak datang dan membawa lari batu nisan itu ke tempat lain pula,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Ara Panjang, Saad Yob Mat berharap pihak berkaitan mengambil tindakan segera termasuk memulihara kawasan kubur itu kerana ia merupakan tinggalan sejarah berharga.

“Bagi kes khurafat itu, kami serahkan kepada pihak polis sebab kami tak mahu ganggu siasatan. Cuma selepas ini diharapkan ada pihak membersihkan dan menjaga kawasan kubur itu.

“Kalau boleh buatlah pagar di situ untuk elakkan orang luar ceroboh. Tengok batu nisannya saja kita boleh tahu usianya mungkin ratusan tahun. Rugi kalau tak dijaga sebaiknya,” ujarnya.