MANJUNG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel di Manjung, di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDNHEP, Mohamad Suhaimi Mohamad Nor, berkata kegiatan itu berjaya dihidu menerusi pemerhatian dan risikan selama dua minggu, selain mendapati pemilik premis menerima bekalan minyak diesel daripada pembekal di sekitar Perak.

Menurut beliau, seorang lelaki berumur 44 tahun yang mengaku sebagai pemilih premis, ditahan untuk diambil keterangan.

“Syarikat ini pernah diambil tindakan pada tahun 2013 kerana memiliki barang kawalan diesel tanpa lesen atau kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

“Ia juga menjual minyak diesel dan produk campuran diesel kepada kilang atau industri di Teluk Intan dan Manjung serta tidak pernah mendapat kebenaran pihak bomba bagi aspek keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Suhaimi berkata, kegiatan itu dipercayai bergiat aktif sejak tiga hingga lima bulan kebelakangan.

Beliau memberitahu, pihak KPDNHEP mengambil tindakan dengan menyita 2,000 liter diesel, sebuah motolori dan dua tangki fiber yang digunakan sebagai tempat simpanan diesel di lokasi itu.

Nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan bernilai RM 57,600, RM 4,600 untuk diesel, RM 1,000 untuk tangki fiber dan RM 52,000 untuk motolori.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.