Kerajaan Negeri mahu pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi membendung kegilaan anak muda hari ini yang melakukan aksi-aksi extreme berbahaya tanpa kebenaran di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata aktiviti extreme itu yang seakan-akan menjadi ‘trend’ golongan itu perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri tetapi juga orang orang awam.

Menurutnya kerajaan tidak mengalu-alukan sebarang insiatif oleh mana-mana anak-anak muda yang mahu mencari publisiti dengan melakukan aksi-aksi berbahaya, memuatnaik rakaman dan dikongsikan di laman-laman sosial.

Katanya publisiti dengan cara demikian tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada negeri mahupun masyarakat.

Mengulas satu video terbaru yang viral menampilkan aksi berani seorang remaja lelaki memanjat kren setinggi 30 kaki di satu tapak pembinaan di Jalan Boungainvillea bersebelahan dengan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), beliau berkata perbuatan remaja itu boleh menyebabkan malapetaka yang tidak diduga sekiranya struktur ‘scaffolding’ itu jatuh menimpa orang awam di kawasan itu.

Menurutnya MBI telah diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengurus tapak projek yang cuai sehingga membiarkan tapak pembinaan itu diceroboh.

“Menjadi tanggungjawab pengurus projek untuk pastikan tapak binaan mereka tidak dicerobohi,” katanya merujuk kepada klip video berdurasi 1.22 minit itu bertajuk ‘Viral aksi berani remaja lelaki pulak panjat kren’ dimuat naik pengguna “Viral Malaysia” pada 31 Disember lalu.

Dalam video berkenaan, remaja tersebut merakamkan dirinya sendiri sambil memanjat kren.

Sebaik sahaja sampai tiba di puncak, remaja tersebut duduk dan terus merakamkan dirinya sendiri dengan berlatarbelakangkan kawasan Greentown.

Mengulas lanjut, beliau berkata gologan anak muda yang meminati aktiviti etreme mempunyai pelbagai cara yang lebih sihat dengan menyertai program-program yang dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Katanya antara program yang dianjurkan jabatan adalah memanjat gunung dan sukan permotoran.