IPOH : Pas Perak mempersoalkan nilai integriti yang diperjuangkan oleh DAP selama ini apabila exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang terpalit dengan dakwaan rogol bebas menghadiri sekali gus mencemari Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 hari ini.

Ketua Penerangannya, Mohd Hafez Sabri berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu sepatutnya meletakkan jawatan atau menggantung tugasnya buat sementara waktu bagi menanti siasatan polis terhadapnya selesa

“Rogol ialah satu tuduhan yang serius dalam apa jua keadaan lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang exco kerajaan negeri dan ahli politik kanan bahkan tuduhan telah dilaporkan.

“Mana perginya pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan DAP yang selama ini menjadi pelindung kepada hak-hak wanita?,” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 8 Julai lalu, satu laporan polis dibuat oleh seorang pembantu rumah warga Indonesia terhadap Choo Kiong yang juga majikannya atas dakwaan rogol.

Dalam pada itu, Hafez berkata, dakwaan kes rogol berkenaan yang turut dilapor dalam media luar negara telah merosakkan nama baik Perak dan Malaysia di persada antarabangsa.

“Malu pada dunia luar terutamanya kepada negara jiran kita Indonesia kerana penjenayah yang dikaitkan dengan kes rogol masih bebas begitu sahaja.

“Perkara ini sudah pasti akan membawa kesan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.