PARIT 28 Mac – Kehadiran pegawai dan anggota dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah ke Hospital Changkat Melintang di sini hari ini memberi keceriaan dan kegembiraan kepada pesakit di hospital tersebut.

Kunjungan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah yang diadakan sempena Hari Peringatan Polis Ke-212 yang disambut pada Isnin lalu.

Turut hadir isteri beliau, Nitce Isa Medina Machmudi Isa yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Perak Tengah.

Lawatan ke hospital berkenaan disambut Pengarah Hospital Changkat Melintang, Dr. Affendi Yusuf.

Selain bertanya khabar dan beramah mesra, pesakit yang dirawat turut menerima sumbangan berupa hamper daripada IPD Perak Tengah.

Mohamad Zainal berkata, lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan antara pihak polis dengan masyarakat dan kakitangan hospital.

Menerusi program seumpama itu katanya, ia dapat membentuk hubungan baik dalam usaha menjaga keamanan dan membanteras jenayah setempat.

“Lawatan ini merupakan susulan daripada pelbagai program sempena sambutan Hari Polis dan juga merupakan tanda prihatin kita terhadap golongan yang kurang bernasib baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE