BATU GAJAH : Kehadiran anggota polis berjaya mengelakkan pertembungan dua kumpulan, antara penyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong dan penyokong DAP, yang mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Khidmat (ADUN) Tronoh di sini, hari ini.

Kira-kira 100 orang ahli DAP berhimpun di hadapan pusat khidmat itu kira-kira jam 10 pagi dengan membawa pelekat untuk membantah tindakan Paul Yong keluar parti dan menjadi ADUN Bebas baru-baru ini.

Dalam masa sama, kira-kira 50 penyokong yang setia dengan wakil rakyat itu berada di dalam pusat khidmat untuk menyatakan sokongan mereka kepada ADUN Tronoh.

Pegawai ADUN Tronoh, Kong Lai Ling berkata, mereka menerima maklumat bahawa ada demonstrasi yang akan diadakan di hadapan pusat khidmat itu.

“Pusat khidmat kami buka seperti biasa sahaja tetapi ramai pengundi dan penyokong yang datang nak memberi sokongan kepada YB (Paul Yong).

“Orang datang seperti biasa, malah pagi ini pun sudah ada dua tiga orang, baru tadi ada orang beritahu nak datang berurusan tetapi saya suruh mereka tunggu,” katanya ketika ditemui di pusat khidmat itu.

Seorang ahli seumur hidup DAP dari Manjung, Phang Heng Chun berkata, tindakan Paul Yong keluar parti adalah satu pengkhianatan kepada DAP.

“Kalau orang yang mengkhianati mandat rakyat, itu sewajar digelar pengkhianat, kalau bukan pengkhianat, letak jawatan, kalau ada maruah, letak jawatan, bukan jadi bebas.

“Kerajaan memang sudah jatuh tapi dia keluar dari parti, itu pengkhianatan, pasal dia dapat undi dari, mandat dari rakyat yang menyokong DAP, mudah sahaja,”ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, perhimpunan selesai kira-kira jam 10.40 pagi tanpa sebarang insiden yang tidak dingini.