IPOH: Tidak lama dahulu anak muda ini pernah berhijrah ke kota besar Bangkok dengan harapan mahu mengubah taraf hidup yang dirasakan miskin di kampung halamannya, di samping terpengaruh dengan desakan orang di sekeliling.

Bagaimanapun, hasil kerja keras selama lapan jam setiap hari dirasakan tidak berbaloi dengan apa yang telah diusahakan, malah kehidupan di bandar metropolitan Bangkok yang dilalui oleh individu bernama Jon Jandai ini bertambah sulit.

“Setelah tujuh tahun di Bangkok, akhirnya saya membuat keputusan untuk berhenti kerja dan kuliah, lalu saya pulang ke kampung halaman untuk mengusahakan tanah lading sebagai seorang petani.

IMG_7035 (1)

“Saya selalu bertanya kepada diri sendiri, saya sudah lakukan apa yang termampu dengan kerja keras di bandar tetapi kenapa hidup saya masih di takuk yang sama” katanya ketika menjadi penceramah jemputan bersempena Dialog Pangkor 2017 di Casuarina@Meru, baru-baru ini.

Jon Jandai merupakan seorang petani dan pengasas Pun Pun iaitu sebuah pusat pertanian organik yang juga berperanan sebagai pusat penyelidikan masyarakat di Ban Pao dalam daerah Mae Taeng, Chiang Mai, utara Thailand.

Berasal dari Wilayah Yasothorn, kisah kejayaan hidup petani muda yang mesra dipanggil Jo ini telah menarik perhatian masyarakat dunia termasuk dijemput ke beberapa program dan forum bagi menyampaikan perspektif hidupnya yang berbeza namun berjaya.

Selain berjaya sebagai petani, Jo juga merupakan seorang tukang rumah tanah liat yang semakin dikenali dengan hasil kerja yang sempurna. Beliau menyokong usaha mempopularkan rumah tanah liat sebagai jalan penyelesaian menyediakan perumahan yang murah dan baik untuk masyarakat di Thailand.

Video tentang Jo sering dipaparkan di laman Youtube seperti TEDxTalks dan Newlife Thailand, dan sentiasa mendapat capaian penonton yang begitu mengalakkan.

Menurutnya, sebilangan manusia kini tertumpu kepada kehendak berbanding keperluan asas yang sebenarnya mudah dan murah didapati, lebih mengagumkan ia ada di sekeliling kita.

“Keperluan asas manusia meliputi makanan, pakaian, rumah dan ubat-ubatan namun kita selalu menjadikan ia sukar sedangkan ia mudah. Tidak perlu terikut-ikut dengan fesyen dan pandangan orang,” kata petani berjaya dari Thailand ini.

Sehingga kini, beliau berjaya mewujudkan suatu tempat dinamakan Pun Pun, dengan tujuan untuk menyimpan benih, kerana menurutnya, benih adalah makanan dan makanan merupakan kehidupan.

Ketika berinteraksi dengan hadirin, beliau turut bercerita serba sedikit tentang cara hidup di desa Thailand yang mempraktikkan budaya kerja dua bulan dalam setahun.

“Itulah sebabnya kenapa di Thailand begitu banyak festival dianjurkan, kerana mereka punya waktu terluang, oleh itu mereka dapat kenal diri sendiri dan tahu matlamat dalam hidup.

“Jika di bandar dulu, saya tak mampu untuk menyimpan wang simpanan namun kini bila berada di kampung, perkara sebaliknya yang berlaku. Saya boleh berjimat kerana semuanya ada di depan mata, dari tanaman sehingga ternakan,” jelasnya.

Perkongsian kisah hidup Jon memberi kesedaran kepada masyarakat dunia bahawa kejayaan hidup tidak bersandarkan kepada material semata-semata; selain berupaya meningkatkan kesedaran umum untuk memulakan sesuatu tindakan luar daripada kebiasaan.