TAPAH: Setelah berpuluh tahun menjalani kehidupan seharian tanpa air bersih, masyarakat Orang Asli Kampung Ras, Pos Jernang dekat Sungkai akhirnya boleh menarik nafas lega.

Hasil inisiatif murni Kementerian Kesihatan, penempatan itu akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih daripada pemasangan sistem bekalan air (GFS) di kampung itu yang menelan kos lebih RM87,500.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Juita Ghazali berkata kemudahan air bersih merupakan antara langkah kementerian memastikan penduduk tidak lagi terdedah dengan insiden penyakit jangkitan air dan risiko keracunan makanan.
Katanya, pemasangan sistem GFS itu hanya mengambil masa dua bulan sejak kerja dimulakan pada awal September berikutan kerjasama baik yang diterima kementerian daripada penduduk kampung, kakitangan Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS) Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang.

“Sebelum ini, penduduk Orang Asli di perkampungan ini hanya bergantung kepada sistem bekalan air yang dibina sendiri dengan sumber daripada sungai berdekatan.

Ini bermakna airnya yang mereka guna merupakan air tidak terawat dan tidak bersih bagi penggunaan harian.

Justeru, kita mengambil keputusan membawa sistem GFS di kampung ini. Denga teknologi terbaru, sistem rawatan air ini menggunakan tabung pengklorinan (CTS-PRO) untuk merawat air dan ini sudah pasti dapat mengatasi masalah bekalan air bersih kepada mereka,”katanya dalam satu kenyataan media pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Sistem Bekalan Air Secara Graviti ( GFS), pada Khamis lepas yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Terletak sekitar 50 kilometer daripada jalan utama, penduduk Orang Asli di RPS Pos Jernang itu terpisah daripada pembangunan infrastruktur utama termasuk bekalan air bersih berikutan keadaan muka bumi yang berbukit bukau dan pendalaman.

Dr Juita berkata KKM juga akan memastikan sistem itu ditambah baik dari masa ke sama bagi menampung keperluan pertambahan penduduk.

Antaranya adalah pemasangan tangki simpanan sebanyak tiga unit dengan kapasiti 600 gelen setiap satu, katanya.

Beliau berkata saiz tangki takungan air juga akan disesuaikan mengikut lokasi berbeza supaya ia dapat menampung bekalan air sewaktu ketiadaan air atau musim kemarau di Kampung Ras yang kini mempunyai 60 buah keluarga.

Dr Juita juga menasihatkan penduduk supaya mengambil berat mengenai isu penyakit berjangkit melalui bawaan air dan keracunan makanan yang sangat sinomin dengan masyarakat pendalaman.

“Justeru, penyelenggaraan aspek kebersihan dan rawatan pembasmian kuman menggunakan tabung pengklorinan perlulah dilakukan secara berkala dengan nasihat dari pihak Pejabat Kesihatan Daerah.

“Sekiranya mengalami symptom demam berpanjangan, sakit perut, mual serta muntah segera dapatkan nasihat dan rawatan di klinik berhampiran,” tambahnya

Beliau turut menasihati penduduk supaya menggelak sikap suka membazir air.

 

“Jangan biarkan air paip mengalir ketika tidak digunakan, takung air sebanyak mungkin dan sentiasa tutup agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Penduduk juga dinasihatkan memaklumkan sebarang kerosakan paip pecah kepada JAKOA secepat mungkin, katanya.