KUALA LUMPUR: Pengurusan Hospital Serdang mengesahkan kakitangannya yang dilaporkan hilang sebelum ini, kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda City di kawasan parkir hospital itu pada jam 4 petang, 8 Mei lalu.

Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan turut mengesahkan kakitangan terbabit, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, tidak hadir bertugas pada keesokan harinya.

“Suami dan waris kakitangan terbabit sudah dimaklumkan untuk tindakan lanjut. Kali terakhir Siti Kharina dilihat ketika sedang memandu kereta berwarna putih itu dengan nombor pendaftaran BEY 1361.

“Beliau juga tidak dapat dihubungi pihak hospital sehingga kenyataan ini dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Rohana ketika mengulas lanjut turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan yang boleh membantu usaha mengesan kakitangan terbabit agar menghubungi polis atau adik Siti Kharina, Siti Khairani Mohd kamaruddin melalui talian 012-2587764.

“Kita berharap orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih agar tidak menganggu proses siasaatan atau menimbulkan sebarang kekeliruan,” katanya.

Kehilangan Siti Kharina hanya disedari apabila rakan serumah jururawat itu menghubungi ahli keluarganya untuk bertanyakan mengenai keadaannya apabila tidak pulang ke rumah dan melapor diri bertugas di tempat kerja – Berita harian