IPOH: Polis tidak menemui sebarang unsur khianat dalam kes kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohamad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.

Malah, kertas siasatan yang dibuka mengenai kes orang hilang itu juga telah hampir lengkap.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya menjalankan siasatan daripada pelbagai sudut untuk mencari apa juga kemungkinan.

“Daripada siasatan kita, daripada segi kalau-kalau ada fault play, kita melihat memang tak ada fault play, kita melihat daripada telefonnya, akaun banknya, pergerakan keretanya, masih lagi macam tidak terusik. Jadi kita percaya kalau ada fault play, mungkin ada benda-benda yang dah berubah sedikit,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program derma darah sempena sambutan hari polis ke 212 di Ipoh, pada Selasa.

Menurutnya, polis telah merakam perbualan lebih tujuh saksi termasuk penganjur, rakan-rakan serta keluarga mangsa.

Katanya. juga akan meneruskan operasi pencarian Sabtu ini di kawasan baru yang belum dicari sebelum ini.

Beliau menasihatkan kumpulan atau individu yang ingin membantu operasi pencarian supaya melaporkan kepada pihak polis atau bomba terlebih dahulu.

“Mana-mana kumpulan ataupun siapa-siapa juga individu yang cuba untuk mencari kita nasihatkan pergi berjumpa dengan pihak kita dan juga pihak bomba penyelamat supaya tidak berlaku, dia cari dia hilang, kita nak cari dia lah pula,” ujarnya.

Razarudin turut menafikan kononnya Mohamad Ashraf telah ditemui, seperti yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara-perkara seumpama itu, yang tiada fakta, kerana boleh mengguris hati keluarga mangsa.