PADANG RENGAS: Program Permukiman yang dilaksanakan di negeri ini sangat berkesan dalam usaha menyelesaikan permasalahan rakyat di sesebuah kawasan.

Ujar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pendekatan itu juga memperlihatkan keikhlasan rakyat yang ditemui di sepanjang program berlangsung.
“Walaupun tercatat 157 program sempena Permukiman namun saya cuba selitkan program tambahan untuk melawat satu-satu tempat.

“Ada yang bertanya sama ada efektif cara sebegini (permukiman), ianya sangat efektif apabila setiap daripada kita melaksana tugas serta peranan dan bukan hanya saya sahaja.

“Saya berpuas hati dengan permukiman kali ini dan kita dapat lihat dokongan rakyat menerusi keikhlasan setiap kali berjumpa dengan mereka” kata Dr Zambry.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran FitPerak@Kuala Kangsar dan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Perak di SMK Tun Perak, di sini pada Sabtu.

FitPerak@Kuala Kangsar dimeriahkan dengan acara berbasikal, larian santai, senamrobik serta pameran gerai jualan dari pelbagai agensi.