GERIK: Keindahan alam semulajadi hutan hujan Khatuliswa yang ada di sekitar Belum Rain Forest Resort Pulau Banding di sini menjadi sajian mata yang menawan hati pewaris takhta Britain, Putera Charles.

Selepas bandar Taiping dan Kuala Kangsar, Putera Charles meneruskan lawatannya ke pusat peranginan ekopelancongan itu bagi menyaksikan keindahan alam yang sinonim dengan destinasi terkenal di negeri ini.

Ketibaan baginda diiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Lawatan yang mengambil masa selama dua puluh minit di Tasik Temengor, Pulau Banding dengan menaiki bot itu, merupakan salah satu agenda yang mengisi rangka lawatan Putera Charles ke negeri ini.

Terdahulu, Putera Charles menghadiri seminar sempena ulang tahun ke-45 World Wide Fund For Nature (WWF) Malaysia dan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Taman Negeri Royal Belum yang berlangsung di resort itu.

Lebih 20 anggota WWF Malaysia termasuk jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan terlibat dalam seminar selama 30 minit.

Gerik menjadi lokasi ketiga lawatan kerabat Diraja Britain ke Perak selepas Taiping dan Kuala Kangsar.