IPOH: Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu mengesahkan perairan di negeri ini tidak terjejas dengan insiden minyak tumpah susulan kejadian kapal ikan karam di perairan Permatang Damar Laut, Pulau Pinang pada awal pagi semalam.

Tegasnya, buat masa ini keadaan di lokasi kejadian yang berhampiran dengan Tanjung Piandang, Kerian itu masih dalam situasi terkawal.

“Setakat ini tiada risiko tumpahan minyak merebak ke perairan utara Perak berdekatan dengan Tanjung Piandang.

“Bagaimanapun pihak Jabatan Laut terus memantau keadaan dan akan memaklumkan kerajaan negeri jika ada sebarang risiko.

“Jadi buat masa ini tiada apa yang perlu dibimbangkan dan saya meminta supaya orang ramai mendapatkan maklumat terkini dari pihak berkuasa berkaitan,”katanya kepada pemberita dalam sebuah sidang media selepas hadir dalam Mesyuarat Lembaga Air Perak (LAP) di sini,hari ini.

Katanya kerajaan negeri Perak menghargai kesemua anggota dan pegawai agensi yang terlibat dalam mengawal keadaan di lokasi.

Sebelum ini, sebuah kapal membawa muatan ikan yang dalam perjalanan ke pelabuhan Pulau Pinang karam dipercayai akibat pelanggaran di perairan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, kapal berkenaan dikatakan melanggar bangkai kapal karam di kedudukan 2.65 batu nautika dari Barat Pulau Rimau, Pulau Pinang.