TAIPING: Tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang mengaitkan PAS dengan dakwaanya berhubung wang 1MDB bukti Pakatan Harapan (PH) “sakit hati” dengan kejayaan parti Islam itu membentang RUU-355 di parlimen baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata dakwaan itu hanya satu usaha untuk mengaburi dan mengalihkan pandangan rakyat daripada kejayaan PAS yang berjaya mencipta satu gelombang baharu Islam dalam arena politik negara selepas pembentangan berkenaan.

“Pada mula katanya PAS yang dapat kemudian orang yang rapat dengan pimpinan PAS dan sekarang bekas kepimpinan PAS pula yang dapat, kalau dia betul-betul yakin sepatutnya dari awal.

“Ianya hanya untuk mengalihkan pandangan dengan membetukkan persepi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen PAS Perak 2017 di Air Kuning, di sini pada Ahad.

Tambah beliau percaturan yang dibuat oleh Rafizi itu juga untuk menyekat usaha PAS dalam meyakinkan rakyat negara ini khususnya bukan Islam untuk menerima RUU-355.

Namun katanya PAS tidak akan terkesan dengan tuduhan liar itu dan terus memberi fokus kepada kerja-kerja parti.

“Kita akan terus berjalan ke hadapan, kita tak ada masa nak fikir dan biar apa orang nak kata kerana kita buat kerja kita biar bukti dengan amal kerana orang boleh lihat,” ujar beliau.