IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak berjaya merampas 6,613 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM25,856 dalam satu serbuan di sebuah premis pembungkusan dekat kawasan perindustrian Kampung Boyan, Taiping pada Khamis.

Timbalan Pengarah KDNKK negeri, Suhaimi Mat Sai berkata, dalam serbuan jam 8.30 pagi itu, didapati premis berkenaan telah melanggar syarat lesen dengan menggunakan tong terpakai untuk pembungkusan minyak masak bersubsidi.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan pihaknya menjumpai 389 tong plastik yang masing-masing mengandungi minyak masak seberat 17kg di kawasan premis berkenaan.

“Kita membuat serbuan ini selepas menerima maklumat daripada orang awam sejak seminggu lalu lagi.

“Kita percaya minyak masak ini akan diedar kepada pengilang-pengilang memproses makanan sekitar Taiping dan Sungai Siput,” katanya dalam satu sidang media khas di sini pada Jumaat.

Beliau turut memberitahu pengarah syarikat berkenaan turut telah ditahan dalam operasi berkenaan.

“Kita telah menahan serang lelaki berusia 61 tahun yang dipercayai pengarah syarikat tersebut bagi membantu siasatan,” ujarnya.