IPOH: Sebanyak 30 pasukan bolasepak dari Perak, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mengambil bahagian dalam Kejohanan Bolasepak 9 Sebelah ‘SUA Friendly Cup 2017 S1 (Veteran/ Open) Terbuka Perak yang diadakan di Padang Ipoh hujung minggu lalu.

Kejohanan dianjurkan oleh Jawatankuasa Sukan, Surau Ulul Albab Margosa, Bandar Sri Botani, Ipoh.

Kategori veteran telah dimenangi oleh pasukan Vasanthan Brothers FC Perak selepas menewaskan pasukan YB ‘S’ vet FC dengan kemenangan tipis hasil jaringan penalti padang 1-0.

Mereka telah membawa pulang wang tunai RM2,000 dan barangan tajaan bernilai RM3,000.

Manakala bagi kategori terbuka pula, pasukan AADK Perak telah menjadi juara setelah menewaskan pasukan KSS/KSV FC dengan jaringan padang 3-0 serta membawa pulang wang tunai RM1,000.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Besar UTC Perak, Romzi Zamri dalam majlis yang turut dihadiri Ismail Osman, Pengurus Acara NESTLE/MILO Wilayah Utara Malaysia, Ismail Osman dan Pengerusi Surau Ulul Albab, Bandar Seri Botani, Datuk Mohd Johari Radzuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kejohanan, Hanif Harun berkata, penganjuran kejohanan itu adalah untuk meraikan Hari Keputeraan Sultan Perak 2017 dan Tahun Melawat Perak 2017 serta mengeratkan hubungan silaturahim para pemain dari pelbagai kaum dan usia.

“Semoga kejohanan seumpama ini akan membantu mempertingkatkan lagi sukan bolasepak di samping mencungkil bakat-bakat baru dalam arena bolasepak di Malaysia,” katanya.