IPOH: Buat julung-julung kalinya, warga Perak berpeluang menyaksikan aksi payung terjun bertaraf dunia menerusi Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019.

Kejohanan itu yang akan diadakan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini dari 22 Oktober hingga 2 November depan, adalah sempena sambutan jubli emas Pasukan 69 Komando, Polis DiRaja Malaysia atau lebih dikenali sebagai VAT69.

Pra pelancaran disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Pangkalan Latihan Unit Udara Polis di sini, pada Selasa.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Nomee Ashikin Mohamed Radzi dan Komander VAT69, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Mohd Yusof.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri amat menggalakkan penganjuran kejohanan itu kerana ia mampu mengangkat Perak sebagai salah satu destinasi sukan ekstrem terkenal di masa hadapan.

“Selain itu, dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan pihak korporat, kami berharap agar kejohanan ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan di Perak,” katanya.

Sementara itu, SAC Abdul Razak berkata, enam pasukan tempatan telah mengesahkan untuk mengambil bahagian.

Di samping itu, katanya, pasukan daripada 12 buah dijangka akan mengambil bahagian, antaranya dari Bahrain, Australia, Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Beliau menganggarkan lebih 300 peserta akan mengambil bahagian di dalam kejohanan itu.

“Terdapat tiga kategori akan dipertandingkan iaitu accuracy, formation dan canopy formation di mana setiap pasukan akan mempamerkan kehebatan dan kepakaran mereka dari aspek ketepatan, kepantasan dan koordinasi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pelbagai acara telah disusun sepanjang kejohanan itu, antaranya demonstrasi VAT69, pameran PDRM, pertunjukkan kebudayaan dan konsert mini oleh artis tempatan – Berita harian