Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Inilah guru kami. Perwatakan beliau sejak 30 tahun sebagai seorang guru masih kekal sehingga hari ini.”

Itu merupakan komen ringkas namun penuh bermakna daripada Azua Kamaruddin yang hadir memberikan kejutan istimewa buat bekas pensyarahnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Sambutan Hari Guru SMK Dato Ahmad Said pada petang Selasa.

Azua, 48, yang kini mengajar subjek Ekonomi di sekolah tersebut merupakan bekas pelajar Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang pernah menuntut ilmu dalam kelas Menteri Besar Perak sewaktu beliau bergelar pensyarah Pengajian Am di pusat pengajian itu.

78a12d30-11f3-48b7-be88-50242d9dfedc

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, setelah 30 tahun berlalu, perwatakan Dr Zambry yang sentiasa dahagakan ilmu dan mengutamakan pelajarnya masih kekal sehingga ke hari ini malah kian sebati dalam dirinya walaupun telah bergelar pemimpin besar.

“Walaupun beliau kini adalah seorang pemimpin negeri ini, Dr Zambry tetap seorang insan yang merendah diri, positif dan sama seperti dahulu.

“Beliau tidak pernah putus-putus memberikan semangat agar anak didiknya berusaha bersungguh-sungguh dalam apa juga perkara yang dilakukan,” katanya.

Azua berharap, jiwa seorang guru yang tersemai di dalam diri pemimpin tertinggi negeri itu akan terus subur dan seterusnya menjadi contoh kepada tenaga pendidik yang lain.

Nazimah Baharom, 45, yang pernah menjadi anak didik Dr Zambry berkata, sempena sambutan Hari Guru pada setiap 16 Mei, beliau tidak pernah melupakan individu yang pernah memberi semangat kepadanya untuk menjadi insan berguna.

“Sudah pasti di Hari Guru ini, sebagai seorang bekas pelajar, saya berasa amat terharu dan ingin mengucapkan terima kasih kepadaDr. Zambry atas ilmu yang dicurahkan kepada saya,” katanya yang merupakan penuntut di Pusat Matrikulasi UIA di Lembah Pantai pada tahun 1990-1991.