Ipoh: Dua jaringan penyerang import Elias dalam tempoh empat minit membantu Perak melakar kemenangan manis apabila mengejutkan pendahulu liga FELDA United 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Pemain dari Brazil itu meledak gol penyamaan pada minit ke-76 dan kemudian memusnahkan cabaran lawan dengan gol kemenangan empat minit kemudian, sekali gus membuatkan pendahulu liga itu menggigit jari.

Sebelum itu, Firdaus Saiyadi membuka jaringan Perak seawal minit ke-11.

Namun, 12 minit kemudian Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan dan pada minit ke-32 penyerang dari Liberia itu meletakkan FELDA di hadapan.

Apapun kejayaan itu adalah kemenangan kedua skuad The Bos Gaurus dalam saingan Liga Super serta yang pertama di gelanggang sendiri.

Dengan kejayaan itu juga Perak mengukuhkan kedudukan dengan menduduki tangga kelapan memintas Terengganu dan Pahang sekali gus mencerahkan peluang ke Piala Malaysia.

Turun tanpa beberapa tonggak utama, Perak menyerbu garang sejak sepak mula dan memperoleh sepakan sudut.

Menerusi sepakan itu Elias melakukan tandukan tepat, tetapi berjaya dikuis keluar oleh penjaga gol FELDA Farizal Harun.

Kesungguhan tuan rumah untuk mencatat kemenangan jelas terpancar selepas hanya mampu mencatat beberapa keputusan seri dan menghuni kelompok tangga terbawah liga.