IPOH –  Ketua Srikandi PKR Pusat, Siti Aishah Shaik Ismail mahu slot Penasihat MB bertaraf Exco dikekalkan kepada PKR walaupun beliau tidak dilantik kali ini.

Beliau menegaskan posisi itu bukanlah milik individu tetapi inisiatif yang diwujudkan sebelum ini untuk parti berkenaan.

“Saya berlapang dada seandainya itu keputusan yang diletakkan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (beliau tidak dilantik dalam mana-mana jawatan) tetapi isunya bukan individu tetapi posisi ini milik PKR.

“Inisiatif ini diwujudkan untuk PKR dan saya dinamakan ke posisi itu. Seandainya mereka memikirkan tidak memilih saya, saya mahu posisi itu diberikan kepada kepimpinan lain dalam Keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas posisinya yang akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Kepimpinan Pakatan Harapan peringkat negeri pada Majlis Sambutan Hari Raya di kediamannya di Taman Pinji Perdana di sini, semalam.

Siti Aishah berkata, perlantikan kepimpinan dalam posisi itu akan membentuk keseimbangan Kerajaan Pakatan Harapan.

“Keseimbangan itu perlu ada dalam kalangan rakan-rakan Pakatan Harapan. Keadilan mempunyai dua kerusi exco dalam kerajaan negeri. Saya rasa tidak salah kalau tambah.

“Walaupun bukan saya, mana-mana kepimpinan untuk duduk dalam kerajaan negeri untuk membantu kerana ini kerajaan bersama yang kita bina atas inisiatif rakyat,” katanya.

Menurutnya, beliau mengharapkan isu berkenaan harus diselesaikan dalam medan politik agar tidak mengusarkan rakyat.

“Saya juga hendak isu ini diselesaikan segera kerana tidak mahu rakyat terheret sama. Ini bukan isu rakyat tetapi isu tidakmatangan kepimpinan politik yang harus diselesaikan di medan politik.

“Saya mengharapkan perkara ini diselesaikan segera supaya ia tidak berpanjangan dan rakyat menjadi mangsa dalam hal ini,” katanya – sinar