Sungai Siput – Kekangan peruntukan dikenalpasti membantutkan proses pemulihan penagih dadah di pusat-pusat pemulihan di negara ini menyebabkan kes penagihan berulang.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata faktor lain termasuk sistem sokongan yang lemah daripada kalangan komuniti juga didapati menyumbang kepada masalah penagihan berulang.

Menurutnya disebalik kengkangan tersebut beliau yakin program pencegahan penyalahgunaan dadah telah berjaya mencapai objektifnya.

“Program pencegahan ini banyak fasa, jika didapati ada penagih berulang dan sebagainya ia ada sebab. Saya yakin program pemulihan di 27 buah pusat pemulihan dadah berjaya.

“Maknanya apabila seseorang itu masuk pusat dan berada di sini dalam temph satu tahun, mereka pulih dari keinginan dan kebergantungan kepada dadah tetapi masalah utama kita apabila mereka keluar.

“Sistem sokongan tak mantap, sukar dapat pekerjaan dan keluarga mungkin tidak terima, yang ini kita mahu perbanyakkan lagi dengan perkukuhkan program komuniti serta lihat apa lagi tindakan yang boleh membantu mereka,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Pusat Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (CCRC) Perlop, di sini pada Rabu.

Zulkifli berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menegaskan program pencegahan masalah melibatkan bahan terlarang itu kurang berkesan.

Ujar Zulkifli faktor kekangan kewangan turut membantutkan usaha pemulihan dan pembelajaran di pusat tersebut.

“Saya harap kerajaan melihat balik peruntukan yang wajar diberi kepada agensi ini,buat masa ini kita memerlukan lebih daripada RM 5 juta untuk membaikpulih kemudahan dan peralatan di 27 buah pusat pemulihan.

“Saya sedang dalam penilaian melihat program-program yang disusun oleh AADK, aspek pencegahan penting dan kos untuk memulihkan seorang penagih di pusat ini RM 45 sehari, kalau penuh pusat ini perbelanjaannya melebihi RM 100 juta dalam tempoh dua tahun,”katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian rebat atau insentif kepada syarikat-syarikat yang memberi peluang pekerjaan kepada bekas penagih.

“Mungkin kerajaan perlu memikirkan insentif tertentu maknanya dia (syarikat) dapat rebat atau pengecualian cukai untuk mereka mengambil pekerja-pekerja dari bekas penagih.

“Setakat ini AADK ada berbincang dengan beberapa syarikat tetapi tidak secara menyeluruh, saya akan jalankan peranan saya untuk hubungkan syarikat, kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi memastikan mereka memberikan sokongan serta kerjasama,” katanya.

Sehingga Julai 2018, kira-kira 4,000 orang penagih berulang dikesan sementara 9,000 orang bagi penagih baru.