Kota Kinabalu: Polis menyelamatkan empat remaja termasuk seorang lelaki berusia 15 hingga 18 tahun selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia didalangi pasangan kekasih warga tempatan.

Semua mangsa mengaku diperdaya menggunakan aplikasi WeChat dengan dijanjikan pekerjaan sebagai pelayan restoran sebelum dipaksa menjual tubuh.

Mangsa bukan saja dikurung di rumah milik sindiket di sebuah kampung di Putatan, malah dipukul sekiranya cuba melarikan diri atau enggan menuruti arahan pasangan kekasih masing-masing berusia 22 dan 30 tahun terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, kegiatan itu dibongkar hasil serbuan polis ke pusat hiburan di Cyber City, Jalan Lintas, 7 Februari lalu.

Katanya, tiga wanita bawah umur bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) mengaku dipergunakan sindiket berkenaan untuk tujuan pelacuran.

“Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Putatan sebelum menahan kedua-dua suspek.

“Polis kemudian menyelamatkan remaja lelaki berusia 16 tahun di dalam rumah itu yang turut dieksploitasi bagi kegiatan maksiat oleh sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam – metro