KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa pertuduhan ke atas dirinya di mahkamah yang berlangsung hari ini berniat jahat.

Malah, beliau turut menganggap bahawa pertuduhan bagi kesnya itu sebagai terpilih kerana ia membabitkan pelajar yang merupakan penyokong parti DAP.

“Budak-budak DAP yang buat demonstrasi ini berhimpun di depan Restoran Amjal dimana Datuk Seri Najib adakan program mereka berhimpun. Mereka juga tak buat permohonan kepada pihak polis,” katanya ketika ditemui sebelum pertuduhan bagi kesnya disebut di mahkamah majistret di sini hari ini.

Mengulas lanjut Lokman berkata, beliau tidak pasti poster yang dirampas daripada salah seorang pelajar yang melakukan demonstrasi semasa insiden itu berlaku terkoyak kerana semasa kejadian ada antara rakan pelajar terbabit menarik pelajar berkenaan.

Katanya, oleh kerana beliau ada di situ, Lokman berkata dia akhirnya menjadi mangsa dengan didakwa telah mendatangkan kecederaan.

“Saya bersama dua lagi akan didakwa atas dua pertuduhan, pertama atas kesalahan kerana saya mengoyakkan poster yang sudah diputuskan oleh pihak mahkamah dimana orang yang melukis gambar Datuk Seri Najib seperti badut itu iaitu Fahmi Reza sudahpun dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan dikenakan denda sebanyak 30,000.

“Kedua, dia mempamirkan satu katikatur yang telah diputus mahkamah berbentuk menghina dan provokasi, dan ketiga dia mengeluarkan kata-kata kesat kepada Najib pencuri perompak,” ujarnya.

Lokman melahirkan rasa sedihnya bukan kerana didakwa sebaliknya menterjemahkan kesedihannya itu sekiranya perjalanan undang-undang tidak mengikut peraturan perundangan.

“Saya sedih bukan kerana saya didakwa, saya tidak ada masalah dia nak dakwa walaupun saya tahu kita tak bersalah.

“Kita boleh mengikut sekiranya negara ini mengamalkan rule of law, saya serah kepada ini kepada Allah. Saya terima apa saja keputusan,” katanya lagi.

Lokman hari ini bakal berdepan pendakwaan berikutan insiden melibatkan beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) yang dikasari di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Jumaat lalu.

Turut dituduh di mahkamah, Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim serta dua individu lain yang dikatakan ahli UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga bakal berdepan pertuduhan berkaitan kes tersebut.

Keempat-empat merela dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaaan yang akan dibaca bersama Seksyen 149 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan. – MalaysiaGazette