KATI: Di kala harapan buat hari esok semacam sudah tiada, manusia lebih-lebih lagi orang Islam haruslah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kekuasaan Allah S.W.T.

Itulah yang dilakukan kedua ibubapa adik Mohd Faiz Mohd Abd Shukor yang menghidapi kanser mata tahap kronik.

Di usia sekecil dua tahun, kanak-kanak ini hilang nikmat melihat dunia setelah sel kanser semakin merebak ke mata kanannya menyebabkan Mohd Faiz buta kedua-dua mata.

Ketika ditemuramah Suara Perak Ogos lalu, ibunya Nor Salwati Abu Bakar berkongsi kesedihannya memikir nasib yang menimpa anak bongsunya.

Lebih menyayat hati apabila ibu ini memberitahu penyakit anaknya itu tidak boleh diubati kerana tiada penawar dalam perubatan moden bagi membunuh sel kanser itu.

Malah pakar perubatan sendiri menasihatinya supaya membawa Mohd Faiz pulang ke rumah kerana pihak hospital tidak lagi boleh lakukan apa-apa.

Di sebalik kebuntuan ini, tiada apa yang mampu menghalang kuasa Allah apabila hajat dan doa berterusan Nor Salwati dan suami untuk mata kanan Mohd Faiz kembali melihat dunia dimakbulkan.

Bagi pasangan ini, menyaksikan mata Mohd Faiz pulih dan keletah anaknya kembali lincah seperti biasa merupakan satu anugerah yang tiada nilainya.

“Inilah yang dikatakan keajaiban kuasa dan nikmat Allah. Saya dan suami tidak pernah putus berdoa dan berserah sepenuhnya kepada Allah. Alhamdulillah permintaan kami dimakbulkan.

Dengan keajaiban ini, kami berharap ia dapat membuktikan sesuatu kepada mereka yang masih meragui kebesaran Allah s.w.t,” katanya sebak.

faiz-celik-semula

Beliau ditemui di rumahnya Kampung Temong Hulu, Kati, dekat Kuala Kangsar baru-baru ini.

Nor Salwati turut percaya keajaiban itu berlaku kerana banyaknya doa yang diterima daripada orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung Mohd Faiz.

Menceritakan detik-detik Mohd Faiz menerima penglihatannya kembali, Nor Salwati berkata ia berlaku secara tiba-tiba.

“Waktu itu kami sedang memegang tangan Faiz, dan secara tiba-tiba dia minta tangannya dilepaskan. Dia berjalan sendiri tanpa kami. Pada mulanya saya rasa pelik. Lama juga saya perhatikan pergerakan anak saya, tidak lama selepas itu saya lihat dia boleh capai benda dan bermain sendiri.

Paling tidak dapat saya lupakan ketika Faiz melihat wajah saya dan terus memanggil mama,” kata Nor Salwati yang dilihat mengalir air mata ketika menceritakan detik penuh sayu itu.

Mohd Faiz pada mulanya dilahirkan dengan kecacatan pada mata kirinya dan hanya bergantung kepada mata kanan sebelum kedua-dua hilang bulan lepas.

Ketika itu, Mohd Faiz dilihat hanya mampu menggunakan deria sentuh untuk mencari dan bermanja dengan ibu dan ayahnya.

Ditanya sekiranya Nor Salwati menggunakan ubat tertentu bagi memulihkan penglibatan anaknya, wanita ini berkata dia tidak menggunakan apa-apa ubatan selain memastikan rutin mencuci luka pada mata kanan Mohd Faiz dilakukan mengikut jadual.

Beliau berkata dia dan suaminya tidak pernah terlepas membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Sauk bagi mencuci luka selain mengikuti rawatan susulan di Hospital Besar Ipoh.

“Masa jururawat di klinik dapat tahu Faiz boleh kembali melihat, ramai yang tidak percaya. Namun mereka menzahirkan rasa syukur malah sentiasa mendoakan Faiz boleh sembuh sepenuhnya, itu jugalah yang kami harapkan.

“Cuma, sekarang ini mentang-mentang dia boleh nampak, habis dua orang kakak dibulinya. Dia sangat aktif..sekejap berjalan, sekejap belari…tak tahu duduk diam. Letih juga dibuatnya tetapi itulah keletah dia yang kami rindukan,”katanya.

Salwati berkata, sebelum ini mata kanan anak kecilnya itu tertutup akibat bengkak yang dialami di sebelah mata kirinya yang diserang kanser.

Mujur,kini Faiz boleh melihat menggunakan mata kanannya semula kerana bengkak mata kirinya telah beransur reda.

faiz-celik-semula 2

Sementara itu, Mohd Abd Shukor Abd Rani berkata satu-satunya hajat dan doanya agar Mohd Faiz dapat memeluk semula dirinya sebaik sahaja bangun di awal pagi kini menjadi kenyataan.

“Bayangkan, dia pegang muka saya, muka mama dia dan memanggil kami…perasaan itu memang tidak dapat kami gambarkan dengan kata-kata.

“Faiz pun dah bertambah sihat, tidak lagi mengadu sakit mata, boleh kunyah makanan pepejal yang keras, dan doktor berkata bengkak di matanya beransur pulih sehingga 80 peratus berbanding sebelum ini,”katanya.

Katanya, sejak Mohd Faiz hilang penglihatan hidupnya sentiasa suram dan tidak tenang serta sering tidak sihat.

“Anak lelaki biasanya adalah peneman dan hero pada ayahnya. Jadi bila Faiz jadi macam tu, saya seolah-olah hilang sesuatu dan merasa kosong kerana dia tidak lagi lincah seperti biasa.

“Tidak dapat saya jelaskan kebahagiaan saya apabila Faiz panggil “mama…mama…ayah..” setiap pagi dan memeluk kami, dan merenung wajah kami, itulah kebahagiaan kami, syukur sangat-sangat,” katanya.

Beliau bagaimana pun mengakui adakalanya tidak terlepas daripada dihantui perasaan cuak dengan perkembangan penyakit kanser mata yang dihadapi anaknya.

“Memang kita tahu tiada penawar tapi kita redha dan berserah bulat-bulat kepada Allah. Ketika kami ingat sudah tiada harapan, tiba-tiba Allah kurniakan nikmatnya…dan kami harapkan Faiz pulih daripada penyakit kanser sepenuhnya,”katanya.

Abdul Shukor berkata, beliau amat mengharapkan orang ramai dapat terus memanjatkan doa supaya kesihatan Mohd Faiz sentiasa baik dan dapat membesar seperti kanak-kanak normal lain.

Misi beliau kini adalah untuk menyambung kerja mengambil upah membaiki rumah setelah tiga bulan tidak dapat mencari rezeki kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian, masa dan tenaga memulihkan Mohd Faiz.

Disebalik rezekinya terjejas, Abdul Shukor menyifatkan penderitaan Mohd Faiz merupakan ujian Allah yang mana hikmahnya lebih besar kerana ia telah menguatkan lagi rasa kasih sayang antara mereka sekeluarga serta bersyukur dengan apa yang ada.

“Faiz sebenarnya anugerah terindah buat kami, kami sekeluarga menjadi lebih rapat, dua kakaknya tidak pernah mengeluh sekiranya menjaga Faiz kerana mereka tak nak adiknya sakit lagi.

“Faiz juga telah kuatkan jiwa kami, mengajar kami erti kecekalan, tidak berputus asa, tidak mengalah dan yang paling penting, bergembira di sebalik apa jua keperitan dan kesusahan hidup,”katanya.

faiz-celik-semula 3