IPOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggalakkan lebih ramai bukan Melayu menyertai pasukan berkenaan bagi memperkukuhkan keupayaannya.

Panglima Tentera Udara. Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata, ketika ini penyertaan bukan Melayu di dalam pasukaan berkenaan pada setiap sesi pengambilan hanya beradap di tahap 10 peratus.

Beliau menyifatkannya sebagai agak merisaukan.

“Kita dapati setiap tahun, walaupun telah dibuat banyak pemasaran dan sebagainya, penyertaan bukan Melayu masih rendah.

“Bukannya TUDM tidak mahu, sebaliknya kita amat galakkan kerana kita memberi peluang kepada mereka untuk berjaya dalam bidang aero angkasa yang lebih menitik beratkan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media selepas menghadiri Perbaisan Tamat Latihan Perajurit Muda TUDM Siri 55/2016 di Insititut Latihan Tentera Udara (ITU) Ipoh pada Ahad.

Justeru itu, Roslan menggesa pengamal media memainkan peranan mempromosikan TUDM bagi memastikan ianya turut disertai oleh kaum bukan Melayu.

 

tudm-1

Sementara itu, bagi perancangan tahun 2017, beliau memberitahu, meskipun mengalami kekangan kewangan, namun TUDM tetap akan berusaha mengekalkan keupayan serta tugas-tugas utama yang telah dipertanggungjawabkan

“2017 akan menjadi tahun yang mencabar kepada TUDM dengan keadaan kekangan kewangan dan sebagainya, tetapi misi kita tidak akan berubah.

“Latihan kemahiran, kepakaran yang melibatkan kompentensi dan teknologi tidak akan dikurangkan, hanya dari segi lain di mana kita boleh jimat akan kita jimat, banyak cara dan kaedah yang kita boleh gunakan,” ujar beliau,

Dalam majlis tersebut, seramai 377 orang Perajurit Muda TUDM telah menamatkan latihan kententeraan yang bermula 1 Julai hingga 30 Disember 2016.