SRI ISKANDAR : Kelab memanah, Seri Iskandar Archery Club hari ini meminta maaf kepada Pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave).

Ini selepas kelab tersebut didakwa memuat naik posting dalam akaun Facebook yang menyatakan bahawa pasar raya itu tidak menjual produk-produk Muslim dan Bumiputera.

Kelab berpengkalan di Ipoh, Perak itu pada hantaran terbaru di media sosial memuat naik permohonan maaf kepada pasar raya tersebut.

“Dengan Ini saya menarik balik kesemua kenyataan saya yang berkaitan dengan ‘post’ Econsave tempoh hari lalu. Saya mengaku yang saya membuat kesilapan dan telah menyampaikan maklumat yang tidak benar kepada orang awam khas nya penduduk Seri Iskandar, Am nya seluruh rakyat Malaysia.”

“Sekali lagi saya mohon maaf kepada pihak Econsave Seri Iskandar Perak khasnya dan Econsave Malaysia amnya. Saya tidak akan ulangi lagi kesilapan yang telah saya lakukan ini,” kata kelab itu dalam satu posting terbaru.

Kelab tersebut turut memadamkan posting yang lama.

Semalam, Econsave membuat laporan polis dan memberi tempoh 48 jam kepada akaun Facebook berkenaan untuk menarik balik dakwaan terhadap pasar raya itu serta memohon maaf atas maklumat palsu yang ditularkan di media sosial.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam, yang membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara berkata pihaknya mengambil serius tuduhan fitnah terhadap Econsave di Facebook dua pihak berkenaan.

“Econsave merupakan salah satu pasar raya yang banyak menjual produk-produk Bumiputera dan Muslim seperti kicap Tamin, kicap Adabi, kicap Kipas Udang, produk Faiza, kicap Enaq, Minyak Saji dan banyak lagi produk-produk lain,” katanyaa.

Dalam perkembangan terbaru, Econsave mengesahkan mengenai permohonan maaf daripada Seri Iskandar Archery Club.

“Kami menerima permohonan maaf daripada Seri Iskandar Archery Club dengan syarat mereka harus bertanggungjawab untuk meminta setaip individu yang telah menggunakan posting fitnah Seri Iskandar Archery Club yang telah di ‘screenshot’ di dalam ‘group’ Facebook Komuniti Seri Iskandar untuk menarik balik posting mereka di semua platform yang telah mereka sebarkan atau dikenakan tindakan undang-undang.

“Kami menasihatkan para pengguna dan warganet agar menyemak dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya kepada umum,” kata pasar raya itu.