IPOH: Kelab Sukan Dan Kebajikan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) hari ini menerima sumbangan sebanyak RM50,000 daripada kerajaan negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada penghargaan kerajaan negeri di atas bantuan dan pengorbanan kakitangan hospital berkenaan.
Jelas beliau, sumbangan tersebut adalah untuk membantu kelab menjalankan sebarang kegiatan dan aktiviti.

“Saya sentiasa menghormati kakitangan hospital dan sentiasa yakin kepada doktor, jururawat dan semua yang memberikan rawatan dan layanan terbaik buat pesakit selama ini, tidak kurang hebatnya berbanding dengan hospital swasta.

“Pertemuan ini adalah tanda kami menyedari kesemua khidmat bakti tidak berbelah bahagi kepada rakyat negeri Perak dan kami ucapkan ribuan terima kasih,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama HRPB di sini pada petang Selasa.

Zambry-hrpb 2

Terdahulu, Dr Zambry turut meluangkan masa hampir sejam beramah mesra dan memberikan sumbangan kepada pesakit di dua wad HRPB.

Turut hadir, isteri Menteri Besar merangkap Pengerusi BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Hassan Merican Omar Naina Merican serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengarah HRPB, Dr. B. Premavathy berkata, ini merupakan kali pertama pihaknya menerima sumbangan daripada Dr Zambry dan ianya sememangnya diluar jangkaan.

“Pemberian ini amat menggembirakan pihak kami, ianya akan disimpan di bawah Kelab Sukan Dan kebajikan HRPB dan digunakan bagi tujuan sukan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Selain itu, sekiranya terdapat mana-mana kakitangan yang memerlukan bantuan kebajikan sumbangan inilah yang akan digunakan,” ujarnya.

Dr Prema berkata, kelab tersebut kini dianggotai 1,800 kakitangan hospital yang aktif dalam bidang sukan dan aktiviti berteraskan komuniti.