NEW YORK: Kelahiran anak luar nikah semakin menjadi trend di kalangan masyarakat antarabangsa dan keadaan ini dijangka berterusan, menurut laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keadaan itu juga menandakan perubahan yang berkaitan dengan faktor budaya dan ekonomi.

Antara petanda jelas ialah 40 peratus daripada keseluruhan kelahiran di Amerika Syarikat (AS) adalah hasil hubungan pasangan yang bukan suami dan isteri, peningkatan 10 peratus dibandingkan tahun 1970.

Antara perangkaan menarik ialah purata usia seorang wanita Amerika melahirkan anak pertama ialah 27 sedangkan pada 1970 ia adalah 22 tahun.

Statistik itu disiarkan semalam melalui laporan tahunan Tabung Penduduk PBB (UNFPA) yang juga agensi khidmat kesihatan zuriat dan seks terbesar antarabangsa.

Selain itu, ketika kadar perkahwinan menurun di Amerika, ditambah dengan peningkatan perkahwinan pada usia lebih lewat, bilangan pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan juga meningkat.

Keadaan ini paling mudah dilihat bagi mereka yang berusia di bawah 35 tahun yang mewakili separuh daripada pasangan yang tinggal bersama, lapor Bloomberg.

Pada masa sama, trend pasangan tidak berkahwin tinggal bersama juga meningkat tidak kira demografi.

“Kehidupan tradisional bagi orang Barat sudah terbalik,” kata John Santelli, profesor mengenai penduduk, kesihatan dan pediatrik di Kajian Kesihatan Awam Mailman di Columbia.

“Pasangan yang tinggal bersama kini mendapat anak tanpa ikatan perkahwinan. Itu juga adalah trend jangka panjang di negara membangun,” katanya. – Agensi