IPOH: Kelantan yang dibarisi lima pemain kebangsaan yang memenangi pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini muncul juara Kejohanan Ragbi National 7’s kategori Lelaki Senior apabila menewaskan Perak 19 – 14 di Padang Ipoh petang Ahad.

Kelantan turut muncul juara kategori Bawah 20 Tahun apabila membenam Labuan 21 – 7 pada perlawanan akhir.

Bagi kategori Wanita pula, Kedah muncul juara selepas menundukkan Terengganu 15 -12.

Perak yang dibarisi dua pemain kebangsaan gagal menyaingi kehebatan pemain-pemain Kelantan apabila dibolosi 19 – 0 pada separuh masa.

Usaha pemain-pemain Perak untuk bangkit pada separuh masa kedua tampah berhasil apabila dianugerah penalty try yang diikuti dengan satu try dan conversion untuk mengutip 14 mata.

Bagaimanapun, kegopohan pemain Perak gagal menambah mata sehingga ke wisel penamat bagi membolehkan Kelantan membawa pulang Piala Ung Khek Cheow, medal dan wang tunai RM5,000.

Perak membawa pula piala, medal dan wang tunai RM3,000. Pemain Kelantan, Zulkiflee Azmi muncul sebagai pemain terbaik kejohanan.

Hadiah-hadiah johan dan naib johan kategori Lelaki Senior disampaikan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal yang diiringi Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia merangkap Presiden Kesatuan Ragbi Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.