HUTAN MELINTANG: Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Selasa depan akan turut membincangkan isu kelemahan kawalan keselamatan di kawasan sempadan seperti yang dibangkitkan Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Datuk Yaacob Md. Sam.

Dalam masa sama, kerajaan turut berterima kasih kepada agensi tersebut yang telah membuat kajian mengenainya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut sebenarnya telah dibangkitkan beberapa kali.

Sehubungan itu, kata beliau, pandangan EAIC dalam dalam perkara itu harus diambil peduli dengan lebih serius agar masalah kelemahan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara tidak berlanjutan.

Menurutnya, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana kawasan sempadan di Kelantan diawasi oleh tentera manakala di sempadan lain diawasi oleh Pasukan Gerakan Am dan agensi-agensi penguatkuasaan lain.

“Saya amat bersetuju supaya koordinasi bukan sahaja secara berkala, tetapi koordinasi dari segi operational mesti dilakukan setiap masa, sebagaimana apa yang dilakukan oleh agensi di di Kawasan Esscom kerana untuk Esscom saya merupakan pengerusi bersama dengan Ketua Menteri Sabah.

“Jadi tidak mustahil kalau saya dapat bersama-sama untuk mengkoordinasikan operasi ini dengan YAB Menteri Besar Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis agar masalah sempadan ini adalah masalah yang dikongsi bersama oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada warga miskin kaum India sempena sambutan Deepavali di Dewan JKKK Hutan Melintang, Perak, hari ini.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar yang disiarkan hari ini, Yaacob menjelaskan, satu kajian terperinci telah dijalankan pihaknya selama empat bulan untuk mengesan
kelemahan-kelemahan kawalan keselamatan sempadan negara.

Antaranya kelemahan yang dikesan ialah kumpulan penyeludup melakukan penyeludupan dari Malaysia ke Thailand berlaku terang-terangan pada siang dan malam.