KUANTAN : Hanya bayar RM3,000 dan selebihnya ditaja individu menggelarkan diri sebagai ‘hamba Allah’.

Itu antara taktik digunakan sindiket menawarkan pakej umrah murah yang sebenarnya adalah penipuan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri Datuk Edros Yahya berkata, taktik seperti itu banyak digunakan di kawasan luar bandar dan tanah rancangan FELDA yang ditawarkan sindiket dalam promosinya termasuk di masjid serta surau.

Katanya, pihaknya mendapati ramai penduduk di luar bandar dan FELDA menjadi mangsa penipuan umrah yang berkemungkinan besar berpunca kerana kekurangan maklumat sehingga menyebabkan mereka mudah tertipu.

“Kalau pakej ditawarkan di bawah RM5,000, sudah tentu ada sesuatu tidak kena dan boleh menjurus kepada penipuan. Ada pihak menawarkan pakej umrah berjumlah RM3,000 dan mendakwa bayaran selebihnya ditaja individu menggelarkan diri sebagai hamba Allah.

“Mereka yang percaya dengan tawaran sedemikian terus membayarnya tetapi apabila tiba masa hendak berlepas pakej itu sebenarnya tidak wujud pun,” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, semalam.

Edros berkata, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengatasi masalah penipuan pakej umrah seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, FELDA, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang serta komuniti kampung.

“Kami memberikan maklumat kepada mereka berhubung pakej umrah yang sebenarnya bagi mengelakkan penipuan sindiket yang menawarkan kadar terlalu murah dan tidak masuk akal.

“Contohnya kalau ada pihak menawarkan pakej umrah murah dan mendakwa ada penaja, jangan mudah percaya dengan gelaran ‘hamba Allah’ itu sepenuhnya, sebaliknya periksa siapa individu hendak menajanya.

“Kena ada bukti dan maklumat sah mengenainya, kami tidak mahu ramai menjadi mangsa penipuan sehingga menyebabkan hasrat menunaikan umrah tidak tercapai malah kerugian ribuan ringgit,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar kompaun kepada agensi pelancongan didapati terbabit dalam pakej penipuan umrah sehingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Difahamkan perbincangan mengenainya kini di peringkat akhir untuk menetapkan kadar kompaun baru kepada agensi yang terbabit memandangkan kompaun dikenakan RM5,000 sebelum ini terlalu rendah – hmetro