Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Persidangan Parlimen yang akan bermula pada Isnin depan tidak akan terganggu berikutan kelewatan pengumuman nama Speaker Dewan Rakyat seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Menteri Sumber Manusia M.Kulasegaran berkata tindakan pihak yang sengaja memperbesarkan isu tersebut dilihat hanya bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu yang melanda bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Persidangan (Parlimen) tidak akan terjejas.Parlimen boleh merangka undang-undangnya tersendiri, kita tidak boleh mempersoalkan perundangan ini (court of law).

“(Saya pasti), pihak pembangkang sedang menjadikan perkara ini sebagai isu kerana mereka tidak mempunyai isu buat masa ini, pemimpin-pemimpin mereka sedang disoal siasat dan akan didakwa dan itulah sebabnya mereka cuba mengalihkan perhatian.

“Bagilah semua orang peluang, sediakan soalan anda dan tanya kami (ketika di Parlimen). Walaupun kami baru sahaja menjadi kerajaan selama dua bulan kami pasti boleh menjawab soalan-soalan tersebut,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Besar Ipoh di sini, hari ini.

Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata demikian ketika mengulas lanjut mengenai kelewatan mengumumkan nama Speaker yang dipersoalkan oleh Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.

Menurut Peraturan Majlis Mesyuarat di dalam Perkara 3 dan 4, nama calon Speaker perlu diberikan kepada Setiausaha Dewan Rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya 14 hari sebelum dewan bersidang.

Dalam pada itu,  Kulasegaran berkata program pendekatan masyarakat yang dijalankan di pasar awam merupakan faktor utama sambutan cukup menggalakkan daripada orang ramai.

“Mungkin selepas ini kita akan adakan di pasar malam supaya lebih ramai boleh datang dan berkongsi masalah mereka,” ujarnya lagi.

Menyentuh mengenai portal JobsMalaysia 2.0 yang dilancarkan 12 Julai lalu, Kulasegaran berkata ia merupakan pusat sehenti yang menyediakan maklumat pasaran kerja kepada orang ramai.

Menurutnya, berdasarkan rekod terkini sebanyak 241,057 pencari kerja aktif direkodkan manakala kekosongan jawatan aktif adalah sebanyak 114,138.