Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN SERAI: Keresahan penduduk sekitar Kampung Padang Lalau, dekat sini dengan kehadiran buaya-buaya di sekitar Sungai Kurau kini dalam tindakan Jabatan Perhilitan Daerah Kerian yang sedang mengenalpasti bilangan sebenar haiwan reptilia itu.

Pegawai Perhilitan Daerah Kerian, Zulkifli Othman berkata satu laporan mengenai kejadian serangan buaya telah dilaporkan kepada ibu pejabat yang mana satu pasukan dari Unit Buaya Tembaga Perhilitan akan ditugaskan ke kawasan itu secepat mungkin untuk menanggani isu keselamatan penduduk kampung.

Katanya pihaknya kini sedang memantau Sungai Kerian bagi mengenalpasti habitat, bilangan buaya yang ada di situ dan seterusnya membuat proses memindahkan reptilia itu.

Beliau mengesahkan menerima satu laporan ‘serangan’ buaya tembaga daripada penduduk Kampung Nibong Hangus pada 12 April dan turut dimaklumkan sekurang-kurangnya empat kes lain yang tidak dilaporkan.

“Pemantauan kami mendapati lokasi Sungai Kurau merupakan habitat terbaik buat buaya-buaya berkenaan kerana ia muara sungai, pertembungan di antara laut dan sungai, sememangnya menjadi habitat utama haiwan reptilia ini,”katanya ketika dihubungi.

Beliau diminta mengulas keresahan penduduk mengenai kehadiran buaya-buaya di Sungai Kurau dikatakan mula mengganas dan mengganggu penduduk di kampong.

Buaya-buaya itu yang habitatnya dikatakan di Kampung Depan Balai dan Kampung Nibong Hangus juga seolah-olah mengamuk dan mengancam keselamatan penduduk setempat.

Dalam kejadian 12 April, seekor buaya dikatakan cuba sehingga menaiki bot nelayan dan menterbalikkannya ketika menyelusuri sungai itu.

“Kita juga akan cuba mencari punca yang menyebabkan buaya-buaya bertindak seperti yang didakwa penduduk,”ujar beliau.

Ketika ditanya mengenai aktiviti buaya-buaya yang gemar “bersidai” di tepi sungai, Zulkifli menjelaskan bahawa ianya bergantung kepada kitaran hidup reptilia berkenaan.

“Setahu saya, buaya-buaya ini tidak akan mengganggu penduduk sesuka hati. Cuma ada kalanya apabila ada yang memacak kayu, letak jala ikan di sarang maka buaya ini akan bertindak ganas.

“Mengenai aktiviti buaya bersidai dan “santai” di tepi sungai, itu sememangnya biasa. Adakalanya haiwan ini ingin mencari tempat bertelur, mengawan dan berjemur,”katanya lagi.

Tambah beliau, habitat buaya berkenaan telah wujud sejak lama lagi dan kemungkinan besar faktor penempatan yang semakin padat sehingga ke tebing sungai telah mengganggu ekosistem habitat reptilia berkenaan.

Bagaimanapun, pihak Perhilitan Daerah tidak pernah memandang ringan mengenai keselamatan penduduk dan bersedia untuk melakukan tindakan sewajarnya sekiranya keperluan mendesak.

“Di pihak kami, kami bersedia dengan perangkap buaya dan kelengkapan penuh untuk menjalankan sebarang operasi menangkap spesies dilindungi ini dan buat masa ini kami masih menunggu arahan daripada pihak atasan.

“Kami telah berjumpa dengan penduduk di sekitar Kampung Depan Balai, Kampung Nibong Hangus dan memberikan nasihat keselamatan dan amaran agar tidak mendekatkan diri dengan Sungai Kurau, untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,”katanya lagi.

Sebelum ini, beberapa laporan mengenai kejadian terserempak dengan buaya pada tengah malam khususnya kawasan tidak bertiang lampu telah disuarakan penduduk di kedua-dua kampung itu.

Malah ada yang mengatakan buaya berkenaan mencari sumber makanan di kawasan penempatan penduduk berikutan bekalan makanan semakin terhad di Sungai Kurau.

Zulkifli berkata, pihaknya telah berbincang dengan ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan beliau turut bekerjasama dengan tindakan Perhilitan yang akan memantau “amukan” buaya tersebut.

“Saya turut mencadangkan agar lebih banyak tiang lampu dan ciri-ciri keselamatan akan dilakukan di kampung yang terletak betul-betul di tepi sungai, agar buaya tidak cenderung untuk datang ke tempat bercahaya dan menggerunkan penduduk.

“Kami sedar ramai penduduk khususnya kanak-kanak berasa amat takut terhadap buaya-buaya ini dan kami di Perhilitan akan melaksanakan tindakan lanjut untu memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.