KUALA LUMPUR: Padah cuba merompak seorang pelajar kolej, seorang kelindan lori dihukum penjara dua tahun dan denda RM300 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Firdaus Mohamad, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 12 Februari lalu.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba merompak Nur Filza Rahim, 20, di hadapan Masjid Baru Batu 5, Jalan Ipoh di sini, pada jam 10.45 pagi, 12 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan hukuman yang ringan atas alasan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Saya benar-benar menyesal dan mohon maaf pada mahkamah. Saya menanggung ibu dan dua adik yang masih bersekolah dengan gaji sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya sambil menangis.

Nurakmal Farhan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius dan mendatangkan trauma kepada mangsa.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa sedang berjalan seorang diri sebelum tertuduh datang dengan menunggang motosikal lalu menarik tangan kanan mangsa dan cuba meragut beg tangannya.

Kebetulan terdapat seorang lelaki menaiki sebuah kereta terus memandu ke arah mangsa dan menghalang perbuatan tertuduh dengan menggunakan keretanya.

Tertuduh kemudian melarikan diri dan terjatuh ke dalam longkang sebelum pihak polis yang berada berdekatan tempat kejadian menahan tertuduh – berita harian