TAPAH: Polis menahan seorang kelindan lori berusia 26 kerana disyaki merogol dan meliwat adik kandung sendiri di rumah sewa mereka di Kampung Rahmat, Bidor, dekat sini, sejak 2014 sehingga 15 Mac lalu.

Perbuatan terkutuk suspek yang juga abang sulung daripada empat beradik, terbongkar apabila adik bongsunya itu lari ke rumah makcik mereka di Slim River kira-kira jam 10.40 pagi Khamis sebelum membuat laporan di Balai Polis Bidor dua jam kemudian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang kini berumur 16 tahun 11 bulan, dikatakan tidak tahan dengan sikap abangnya yang sering mengongkong dan memberhentikannya dari sekolah tanpa sebab.

“Kejadian berlaku semasa dua orang abangnya yang lain tiada di rumah,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, pengadu tidak pernah menceritakan kejadian kepada sesiapa kerana diugut tidak akan diberi makan dan duit belanja jika beritahu kejadian kepada sesiapa.

Wan Azharuddin berkata, pemeriksaan awal ke atas mangsa telah dijalankan di Hospital Slim River dan mangsa telah ditahan di wad sebelum dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek ditahan Khamis malam dan direman tujuh hari sehingga 28 Mac ini oleh Mahkamah Majistret Tapah pagi Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.