MAMPU mengesan sehingga 99.9 peratus ketepatan wajah, itu antara ciri keselamatan mesin pengimbas generasi baru dikenali sebagai ‘Dsonic Egate’ bakal digunakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada masa depan di semua pintu masuk utama negara.

Antara lokasi akan ditempatkan mesin pengimbas berteknologi terkini itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, serta di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di Johor.

Ia bagi menggantikan mesin pengimbas sedia ada menggunakan sistem biometrik yang mengambil masa lebih lama sekitar 13 hingga 15 saat berbanding mesin pengimbas wajah itu hanya mengambil masa kurang tujuh saat.

Dibangunkan oleh syarikat Datasonic Group Berhad (DATASONIC), sebanyak 120 unit akan dibekalkan kepada JIM secara berperingkat.

Pengarah Eksekutif DATASONIC Zulkhornain Ranee, Dsonic Egate mampu mengesan sebarang bentuk perubahan pada wajah yang diimbas walaupun individu terbabit sudah melakukan pembedahan kosmetik.

Katanya, ciri itu membolehkan mesin berkenaan menjadi alat pengimbas paling canggih akan digunakan JIM sekali gus mampu meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara.

“Prototaip mesin ini sudah menjalani beberapa ujian awal dan ia terbukti antara paling canggih di dunia.

“Malah, ia tidak lagi memerlukan seseorang itu untuk melalui proses pengesanan biometrik atau imbasan cap jari,” katanya dalam sidang media pengenalan Dsonic Egate di Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) serta Pameran Perkhidmatan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Zulkhornain berkata, menerusi perbincangan awal, Dsonic Egate akan dipasang secara berperingkat bermula Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk mempertingkatkan sistem sedia ada yang digunakan sesuai dengan kehendak keselamatan semasa.

Katanya, prototaip mesin itu akan dipasang di beberapa lokasi pintu masuk negara untuk ujian bagi melihat keberkesanannya.

“Ini adalah satu daripada usaha penambah baikan dan langkah berterusan JIM serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan sistem keselamatan negara sentiasa dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata, selepas mendapat kelulusan, ia akan dipasang secara berperingkat bagi mengelak kesesakan di kaunter pintu masuk negara.

“Bagi mengatasi masalah itu, kaunter manual akan dibuka ketika pemasangan Dsonic Egate bagi memastikan proses kemasukan pelancong dan pelawat di negara ini tidak terjejas,” katanya – berita harian