LUMUT: Keluarga berpendapatan bawah RM3,000 di Perak yang mempunyai anak melanjutkan pelajaran ke universiti dan kolej pendidikan layak memohon bantuan daripada kerajaan negeri melalui program Dermasiswa.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program yang sejak sekian lama diwujudkan itu akan memberi bantuan kewangan daripada RM500 sehingga RM1,200 secara terus untuk membantu meringankan beban golongan tersebut.

1

“Mana-mana keluarga yang berpendapatan bawah RM3,000 kebawah dan mempunyai anak-anak yang nak melanjutkan pelajaran ke Universiti atau kolej yang diiktiraf layak menerima bantuan ini.

“Kita wujudkan ini meringankan beban mereka kerana kita faham bila mula nak masuk ke universiti atau kolej itu memerlukan wang yang banyak..jadi kita bantu mereka tanpa perlu mereka bayar balik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Amanjaya Student Leadership Camp (Mahasiswa Perak) di Outward Bound School, di sini, pada Ahad.

Tambah beliau sejak ianya diwujudkan seramai 14,000 anak Perak telah menerima bantuan berkenaan.

“Kepada yang layak boleh terus memaklumkan kepada Yayasan Perak bagi membolehkan kita membantu melalui peruntukkan yang kita ada.

“Kita akan teruskan program ini kerana kita tidak letakkan had berapa ramai yang boleh menerimanya, yang penting layak” ujar beliau.