SEREMBAN: “Kali terakhir saya jumpa ayah ketika berbuka puasa semalam. Ayah sempat nasihat supaya tidak bergaduh sesama adik beradik.”

Muhammad Hafez Mohamed Yatim, 26, tergamam sebaik mendapat tahu bapanya, Mohamed Yatim Juraimi, 61, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bukit Putus, dekat sini, kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika dalam perjalanan pulang ke Juasseh, Kuala Pilah untuk menyambut Aidilfitri.

Ibunya, Jamaliah Daud, 59, dan dua adiknya, Muhammad Raiz, 18, dan Muhammad Firdaus, 22, yang menaiki kereta sama hanya cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini.

Empat mangsa lain yang terbabit kemalangan itu hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Muhammad Hafez mengetahui mengenai kemalangan itu kira-kira jam 7 pagi tadi ketika bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau yang tinggal di Taman Semarak, Nilai, tidak mengikut ibu bapanya pulang ke kampung kerana masih bekerja.

“Saya bercadang pulang sebentar ke Juasseh sebaik tamat kerja jam 12 tengah hari ini untuk beraya bersama keluarga, nenek dan saudara-mara lain sebelum kembali bertugas semula pada jam 12 tengah malam ini.

“Tidak sangka kami dapat juga berkumpul tetapi dalam keadaan lain pula,” katanya ketika ditemui di HTJ di sini, hari ini.

Muhammad Hafez berkata, kedua-dua adiknya cuba membantu bapa mereka yang tersepit di tempat duduk pemandu tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti, Pegawai Bomba Kanan Mohd Fauzi Shamir, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi dan bergegas ke lokasi.

Sebaik tiba pada jam 7.04 pagi bersama dua jentera termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang serta 13 anggota, pihaknya mendapati semua mangsa yang cedera sudah keluar dari kenderaan masing-masing.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya – berita harian