TAIPING – Keluarga kanak-kanak yang digigit anjing, di Kuala Sepetang, di sini mengakui trauma apabila kejadian menimpa dua ahli keluarga mereka itu mengesahkan wujudnya virus anjing gila atau rabies melibatkan haiwan peliharaan mereka sendiri.

Ibu seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 40, berkata, mereka juga tidak berhasrat untuk memelihara anjing lagi.

“Sekarang saya hanya ingin beri tumpuan dan perhatian untuk rawatan anak serta anak saudara sahaja,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, anaknya yang berusia 12 tahun dan anak saudara, 11, kini berada dalam keadaan sihat, walaupun masih perlu menjalani rutin rawatan di Hospital Taiping.

Katanya, sejak kejadian 4 Julai lalu, kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan secara konsisten, tanpa perlu dimasukkan ke dalam wad.

“Tak ada apa yang perlu dibimbangkan, saya minta tiada lagi pihak datang ke rumah kerana situasi ini sedikit mengganggu ahli keluarga saya,” katanya.

Ooi berkata, anjingnya yang dipelihara sejak dua tahun lalu itu, hanya menunjukkan tanda tidak sihat pada hari keenam selepas kejadian.

Katanya, haiwan itu tiada selera makan, menyebabkan ia dibawa ke hospital haiwan untuk rawatan.

“Doktor mengesahkan bahawa anjing itu mengalami luka pada bahagian penis,” katanya.

 

-SinarHarian