KUALA LUMPUR: Keluarga rakyat Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang dilaporkan maut dalam kejadian gempa bumi di Pulau Lombok hari ini, masih belum menerima sebarang pengesahan berhubung kejadian itu.

Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata hingga 6 petang ini, tiada mana-mana pihak sama ada Kedutaan Malaysia di Jakarta ataupun Kementerian Luar yang menghubungi mereka bagi memaklumkan perkara itu.

Katanya, sehubungan itu, pihaknya berharap agar kerajaan dapat membawa beliau atau suami Siti Nur Ismawida ke Lombok bagi membuat pengecaman mayat sekiranya mangsa yang terkorban itu anaknya.

“Saya hanya tahu perkara itu ketika menonton berita tengah hari tadi. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami (keluarga) untuk memudahkan proses pengecaman.

“Dan jika benar mangsa yang terkorban itu anak saya, saya harap pihak berkenaan dapat membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah ke Malaysia,” katanya ketika ditemui BERNAMA di kediaman seorang daripada anaknya di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Ismail turut mendakwa keluarganya telah menerima beberapa panggilan telefon yang dipercayai ejen yang ingin menguruskan proses membawa pulang jenazah ke ibu negara.

“Ada antara mereka meminta hingga lebih 80 juta Rupiah (RM22,500) bagi urusan membawa pulang jenazah. Pihak keluarga tidak tahu sama ada ejen berkenaan sah atau sebaliknya. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, anak keduanya daripada tiga beradik itu amat meminati aktiviti lasak dan telah mendaki hampir semua lokasi pendakian di negara ini.

​​​​​​​Siti Nur Ismawida, seorang pensyarah kolej swasta di Ampang, adalah antara 18 peserta kumpulan pendaki rakyat Malaysia yang tiba di Lombok pada Selasa lepas untuk mendaki Gunung Rinjani dan dijadual pulang ke tanah air, hari ini.

Kali terakhir mangsa menghubungi keluarga pada malam tadi menerusi aplikasi WhatsApp.

Mangsa dilaporkan parah setelah dihempap runtuhan bangunan rumah yang didudukinya.

Gempa bumi kuat 6.4 magnitud itu menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok menyebabkan penduduk kawasan itu dilaporkan bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.

Menurut kenyataan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG), gempa itu berpusat di 28 kilometer ke Barat Laut Lombok Timur dengan kedalaman 10 kilometer, menyebabkan kerosakan bangunan dan struktur di kawasan yang terlibat iaitu Kapubaten Lombok Timur dan Kabupaten Lombok Utara.

Setakat 2 petang ini, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 40 mangsa dilaporkan cedera parah dan luka ringan manakala 10 lagi disahkan meninggal dunia. – BERNAMA