IPOH: Dua beranak hidup dalam ketakutan sejak tiga bulan lalu apabila mereka sering diganggu oleh beberapa Ah Long walaupun tidak berhutang sesen dengan sesiapa.

Loh Ah Looi,65, yang trauma dengan kejadian tersebut berkata siri ugutan bermula apabila beliau didatangi sekumpulan lelaki pada 8 November lepas di rumahnya.

Katanya, dia agak terkejut dengan kehadiran lelaki yang mengaku mereka Ah Long dan menagih hutang sedangkan beliau tidak tahu menahu berkenaan hutang yang dituntut.‎

“Mereka mengingatkan saya untuk memberitahu anak saya membayar balik pinjaman sebanyak RM10,000. Saya hairan anak saya langsung tidak pernah berjudi sepanjang hidupnya, malah saya bertanya kepada mereka samada benar ada meminjam duit tetapi diberitahu mereka tidak akan melakukan perkara sebegitu,”katanya yang kelihatan menitiskan air mata ketika menceritakan pengalaman yang dilaluinya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Pusat Aduan MCA Ipon pada Rabu.

Ah Looi berkata beliau bimbang keselamatan keluarganya sekiranya ah long itu muncul kembali.

Beliau berharap ah long dapat berhenti daripada menggangu kehidupan mereka sekeluarga.

Jelasnya, beliau cuba untuk meminta bukti daripada kesemua lelaki tersebut namun mereka gagal mengemukakannya.

“Saya sudah tidak tahan, hentikanlah semua ini, dengan orang tua pun mereka berani nak ugut, sedangkan kami tak buat apa-apa kesalahan,”katanya lagi.

Anaknya, Mak Chee Leong,45, berkata kumpulan Ah Long itu telah datang sebanyak lima kali ke rumahnya.

Katanya beliau sendiri tidak tahu menahu ‎mengenai hutang yang dimaksudkan.

“Mereka kata saya berhutang duit dengan mereka dan menuduh bahawa ianya berkait dengan judi lumba kuda dan bola sepak tetapi saya sendiri tidak pandai berjudi.

“Bila saya tanya sekiranya mereka tersilap orang, namun mereka menyebut nama saya,”kata lelaki yang bekerja sebagai ejen pelancongan itu.

Beliau telah membuat satu laporan polis pada 26 Oktober lepas selepas dua orang lelaki bertindak menunggu di hadapan rumah mereka di Taman Megah sekitar pukul 11 pagi.

Dalam pada itu, Ketua Pusat Aduan Khidmat Awam Perak, Jimmy Loh menggesa kesemua Ah Long yang terlibat untuk datang ke Ibu Pejabat MCA mereka pada Khamis,sekitar 10 hingga 11 pagi.

“Saya nak semua datang dengan bukti, dan Chee Long akan berada di sini. Sekiranya dia berhutang dengan kamu, dan terbukti dia melakukannya maka dia akan membayar hutang itu.

“Tapi jika ianya tidak benar, berhentilah ganggu kehidupan mereka,”katanya lagi.