GOPENG 25 Mac – Keluarga peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang dilaporkan hilang semasa menyertai perlumbaan itu kelmarin, yakin dia akan ditemui dengan selamat.

Keyakinan itu disuarakan kakak sulungnya, Siti Norizan, 36, berdasarkan pengalaman anak kelima daripada tujuh beradik itu yang sememangnya aktif dalam pelbagai aktiviti lasak.

“Saya yakin dia boleh ‘survive’. Kami juga diberitahu yang dia cukup cergas semasa berlari dalam perlumbaan itu.

“Dalam adik beradik, hanya dia seorang sahaja yang minat aktiviti lasak termasuk mendaki dan berlari malah perlumbaan di Gua Tempurung ini juga adalah penyertaan kali keduanya di sini,” katanya ketika ditemui di pos kawalan operasi di Kampung Sungai Itek di sini hari ini.

Dalam perlumbaan pada Sabtu lalu, Mohammad Ashraf bersama 485 peserta lain menyertai acara tersebut yang bermula dari Gua Tempurung bagi kategori 25 Kilometer pada pukul 7.30 pagi.

Kehilangan lelaki itu bagaimanapun hanya disedari selepas selesai perlumbaan pada pukul 2 petang oleh rakannya yang kemudian melaporkan perkara itu kepada penganjur.-UTUSAN ONLINE